A MOKA in Berita Harian

Melaka&Negeri Sembilan: Sekitar Kampus: MMU teruskan program amal di Aceh

Lawatan fokus didik anak yatim mengenai kepentingan IT, motivasi

MELAKA: Pelajar Universiti Multimedia (MMU) menerusi Sekretariat Aceh di sini, akan menganjurkan program lawatan sambil beramal ke wilayah Aceh, Sumatera pada 9 hingga 15 Januari 2010 ini, bagi membantu anak yatim yang menjadi mangsa tsunami di situ.

Pengarah program, Muhammad Ikhwan Shamsul Azlan berkata, acara yang dinamakan Peuehaba Aceh 4 atau bermaksud Apa Khabar Aceh 4 itu, antara lain bertujuan memberi kesedaran kepada penduduk dan pendedahan penduduk di wilayah terbabit mengenai kepentingan teknologi maklumat (IT).

Katanya, fokus program itu adalah sekumpulan kanak-kanak yatim yang kehilangan ibu atau bapa atau kedua-duanya sekali dan keluarga mereka.

"Program ini adalah kesinambungan daripada kejayaan program Peuehaba Aceh pada 2007, 2008 dan yang diadakan pada tahun ini. Tema program kali ini adalah ‘IT ke Hati’ kerana kita melihat proses pembangunan anak yatim di Aceh sangat memerlukan pengisian pembangunan dari sudut IT dan motivasi belajar.

"Setakat ini, kita sudah merancang pelbagai aktiviti bersesuaian untuk penduduk terbabit," katanya kepada Berita Harian di sini, semalam.

Muhammad Ikhwan berkata, bagi program yang turut mendapat kerjasama Pos Keadilan Peduli Umat (PKPU) itu, pihaknya memilih kawasan Meulaboh iaitu sebuah pekan di tepi pantai menghadap Lautan Hindi dan letaknya di pesisir Barat Nanggroe Ache Darusalam.

Katanya, kawasan berkenaan adalah antara paling teruk mengalami kerosakan ketika dilanda bencana tsunami.

"Perjalanan ke sana dari Banda Aceh mengambil masa kira-kira lapan jam dan bagi kami, ia suatu perjalanan yang sangat mencabar," katanya.

Sementara itu, Ketua Bahagian Pemasaran program ini, Fatin Amanina Yazid berkata, bagi menganjurkan program ini, pihaknya turut mengadakan kutipan derma daripada rakyat negara ini, untuk disalurkan terus kepada anak yatim terbabit.

Katanya, sumbangan yang diterima termasuk komputer, wang tunai, perisian komputer dan alat tulis.

"Rakyat negara ini yang berminat menyumbang boleh menghubungi saya di talian 0176570962 atau Muhammad Ikhwan (012-2117691) atau Nor Azlinah Shajahan (016-3480886).

“Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai program ini, mereka juga boleh terus melayari laman web kami di alamat www.peuehabaaceh.org," katanya.